12 May 2010

HARI KELUARGA KUNIZH-PPIM 2010




Menjelang Musim Bunga setiap tahun, Kelab UMNO Luar Negara Nizhny Novgorod (Kunizh) menganjurkan Hari Keluarga dengan kerjasama sebuah lagi organisasi pelajar iaitu Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM). Program bukan akademik ini disasarkan kepada kelompok pelajar bumiputera yang menuntut di Nizhny Novgorod State Medical Academy (NNSMA). Hari Keluarga 2010 merupakan penganjuran kali ke-3 sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 2008 yang lalu.

Hari Keluarga 2010 telah berjaya dianjurkan pada 1hb Mei 2010 bertemakan “Family Outing” sesuai dengan konsep bersantai. Dengan konsep berkenaan ianya dapat mengeratkan hubungan antara pelajar baru dan pelajar lama selain dapat merehatkan minda sebelum musim peperiksaan bermula.

Upacara Pembukaan dan Senaman Aerobik di Perkarangan Hostel 3

Program Hari Keluarga bermula seawal jam 8.00 pagi apabila semua peserta berkumpul di perkarangan asrama pelajar. Bacaan doa sebagai pembuka majlis dan nyanyian patriotik sebagai pembakar semangat di awal pagi. Program ini dirasmikan oleh Presiden PPIM, Sdr. Ezwan Suryakarta. Selepas sesi ucapan tersebut program diteruskan dengan senaman aerobik sebelum bertolak ke lokasi iaitu di Taman Sentral Nizhny (Nizhny Central Park) yang terletak di Persiaran Gagarin.

Setiap kumpulan terdiri dari 10 orang pelajar dan sebanyak 14 kumpulan telah dibentuk untuk Hari Keluarga kali ini. Setelah selesai sesi ta’ruf dalam kumpulan masing-masing, semua peserta mula menghidupkan api untuk berbeku (BBQ) sebelum urusetia memulakan acara permainan yang menarik dan mencabar.

Permainan seperti “Ultimate Frisbee”, “Amazing Race”, “Toxic Waste” dan “Battle Ship” telah dianjurkan dengan jayanya. Permainan tersebut dapat mengajak para peserta mengenal potensi diri dan mencabar diri sendiri selain memupuk semangat berpasukan.

Antara gambar menarik yang dapat dirakam oleh lensa kamera.

Aksi bersemangat yang ditunjukkan oleh pelajar tahun terakhir.

Permainan sukaneka juga diadakan seperti “Mama chop Papa grill”, “Bakery Shop” dan “Banana pass” yang dapat melatih peserta berdikari dan bersyukur dengan cabaran yang diberikan.

Kira-kira pukul 3.00 petang program sampai ke penghujungnya. Acara penutup dan penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Presiden Kunizh, Sdr. Mohd Hasnul Helmi bin Zulkifli kepada kumpulan-kumpulan yang terbaik.

Akhir, saya selaku wakil Kunizh ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang hadir kerana memeriahkan program yang hebat ini dan tidak lupa ucapan tahniah dan terima kasih kepada barisan jawatankuasa pelajar yang bertungkus lumus dalam menjayakan Hari Keluarga kali ini. Kesimpulannya, program Hari Keluarga ini perlu diteruskan supaya tradisi murni dapat dikekalkan terutama dalam mengeratkan hubungan antara pelajar melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

No comments:

Post a Comment