12 May 2010

HARI KELUARGA KUNIZH-PPIM 2010




Menjelang Musim Bunga setiap tahun, Kelab UMNO Luar Negara Nizhny Novgorod (Kunizh) menganjurkan Hari Keluarga dengan kerjasama sebuah lagi organisasi pelajar iaitu Persatuan Perubatan Islam Malaysia (PPIM). Program bukan akademik ini disasarkan kepada kelompok pelajar bumiputera yang menuntut di Nizhny Novgorod State Medical Academy (NNSMA). Hari Keluarga 2010 merupakan penganjuran kali ke-3 sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 2008 yang lalu.

Hari Keluarga 2010 telah berjaya dianjurkan pada 1hb Mei 2010 bertemakan “Family Outing” sesuai dengan konsep bersantai. Dengan konsep berkenaan ianya dapat mengeratkan hubungan antara pelajar baru dan pelajar lama selain dapat merehatkan minda sebelum musim peperiksaan bermula.

Upacara Pembukaan dan Senaman Aerobik di Perkarangan Hostel 3

Program Hari Keluarga bermula seawal jam 8.00 pagi apabila semua peserta berkumpul di perkarangan asrama pelajar. Bacaan doa sebagai pembuka majlis dan nyanyian patriotik sebagai pembakar semangat di awal pagi. Program ini dirasmikan oleh Presiden PPIM, Sdr. Ezwan Suryakarta. Selepas sesi ucapan tersebut program diteruskan dengan senaman aerobik sebelum bertolak ke lokasi iaitu di Taman Sentral Nizhny (Nizhny Central Park) yang terletak di Persiaran Gagarin.

Setiap kumpulan terdiri dari 10 orang pelajar dan sebanyak 14 kumpulan telah dibentuk untuk Hari Keluarga kali ini. Setelah selesai sesi ta’ruf dalam kumpulan masing-masing, semua peserta mula menghidupkan api untuk berbeku (BBQ) sebelum urusetia memulakan acara permainan yang menarik dan mencabar.

Permainan seperti “Ultimate Frisbee”, “Amazing Race”, “Toxic Waste” dan “Battle Ship” telah dianjurkan dengan jayanya. Permainan tersebut dapat mengajak para peserta mengenal potensi diri dan mencabar diri sendiri selain memupuk semangat berpasukan.

Antara gambar menarik yang dapat dirakam oleh lensa kamera.

Aksi bersemangat yang ditunjukkan oleh pelajar tahun terakhir.

Permainan sukaneka juga diadakan seperti “Mama chop Papa grill”, “Bakery Shop” dan “Banana pass” yang dapat melatih peserta berdikari dan bersyukur dengan cabaran yang diberikan.

Kira-kira pukul 3.00 petang program sampai ke penghujungnya. Acara penutup dan penyampaian hadiah telah disampaikan oleh Presiden Kunizh, Sdr. Mohd Hasnul Helmi bin Zulkifli kepada kumpulan-kumpulan yang terbaik.

Akhir, saya selaku wakil Kunizh ingin mengucapkan tahniah kepada semua peserta yang hadir kerana memeriahkan program yang hebat ini dan tidak lupa ucapan tahniah dan terima kasih kepada barisan jawatankuasa pelajar yang bertungkus lumus dalam menjayakan Hari Keluarga kali ini. Kesimpulannya, program Hari Keluarga ini perlu diteruskan supaya tradisi murni dapat dikekalkan terutama dalam mengeratkan hubungan antara pelajar melalui aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

27 April 2010

Lawatan ke Kilang Kristal Vladimir 2010

Salam sejahtera kepada semua pelajar Malaysia bumiputera di NNSMA.

Kunizh akan menganjurkan lawatan ke Kilang Kristal yang tersohor di Russia pada hari Sabtu tarikh 15hb Mei 2010. Kilang Kristal yang diberi nama "Gus-Khrustalny" ini terletak di Vladimir, salah sebuah negeri di Russia. Kedudukan negeri Vladimir ini bersebelahan dengan negeri Nizhny Novgorod.


Gus-Khrustalny juga merupakan salah satu pusat tertua di Russia dalam sektor perusahaan kaca dan kristal.

Berikut adalah tentatif perjalanan:

6.00 pagi : Berkumpul di perkarangan Hostel No.3 dan Bas bertolak

10.oo pagi : Dijangka tiba di Gus-Khrustalny

3.00 petang : Lawatan sekitar bandar Vladimir

6.00 petang : Bertolak pulang ke Nizhny Novgorod

Makanan dan minuman tidak disediakan sepanjang program ini. Sila bawa bekalan makanan sendiri untuk sepanjang hari lawatan.



Kepada sesiapa yang berminat sila buat tempahan, dan dapatkan maklumat mengenai lawatan dari wakil-wakil Kunizh berhampiran anda. Tarikh tutup penyertaan pada 2hb Mei 2010. Bayaran yuran penyertaan adalah RUR 500. Tempat adalah terhad.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi Presiden Kunizh, Saudara Hasnul di talian 89200196928 atau Timb. Presiden, Saudari Atam 89200188707.

24 April 2010

Syabas kepada Kontigen NNSMA atas penyertaan di temasya Sukan Intervarsiti Malaysia kali ke-7 di Kursk, Russia


Kelab Umno Luar Negara Nizhny Novgorod (Kunizh) mengucapkan syabas kepada ahli-ahli kelab yang telah menyertai temasya Sukan Intervarsiti Malaysia kali ke-7 (VIIth Malaysian Intervarsity Games) yang berlangsung di Kursk, Russia pada 16-18 April 2010 yang lalu.
Kontigen NNSMA berjaya membawa pulang 4 pingat gangsa dari temasya tersebut menerusi sukan bola keranjang perempuan, bola baling lelaki, hoki dalam dewan lelaki dan acara tarik tali.

Kunizh juga merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada penganjur kejohanan Kursk State Medical Academy (KSMU) di atas kejayaan menjadi tuan rumah dan pencapaian terbaik dengan merangkul 10 pingat emas.

Kontigen NNSMA telah menghantar seramai 87 orang dan menyertai kesemua acara yang dipertandingkan kecuali dalam acara ping pong, bola jaring dan Cybergames.

Walaupun keputusan kali ini tidak memberangsangkan namun Kunizh percaya pelajar Malaysia kelompok Nizhny akan berusaha lebih keras dalam memastikan hasil dan keputusan yang lebih baik pada kejohanan akan datang yang bakal berlangsung di Moscow dengan Moscow Medical Academy (MMA) sebagai tuan rumah untuk temasya kali ke-8 nanti.

Insya Allah, Kunizh dengan perancangan dan perbelanjaan yang teratur serta lebih kemas bercadang akan memperuntukkan sejumlah sumbangan kepada ahli-ahli Kunizh yang aktif ke temasya di Moscow tahun hadapan bagi meringankan beban atlet seterusnya meningkatkan motivasi mereka untuk lebih bersedia menghadapi temasya sukan terbesar di kalangan pelajar-pelajar Malaysia di bumi Russia.